Tersebar Foto Berpeluk, Ismail Izzani Kesal Dan Mohon Maaf

PENYANYI remaja Ismail Izzani memohon maaf kepada keluarga dan pihak pengurusannya berkaitan foto yang tersebar bersama pelakon Zarina Ann Joulie.

Pengurusnya, Adib berkata, penyanyi lagu Luar Biasa itu turut meluahkan rasa kesal dengan perkara yang berlaku.

“Secara jujurnya, Ismail sudah pun memohon maaf kepada pihak pengurusan dan juga kepada Mama dan keluarganya.

“Beliau kesal dan Insyaallah kami akan sentiasa berada di sisi beliau untuk terus memberi sokongan dari segala aspek. Lagi-lagi pada waktu sukar seperti begini,” ujarnya.

Ismail kesal dengan apa yang berlaku.

Anak kepada penyanyi Datin Seri Suliza Salam sekali lagi menjadi perhatian apabila foto mesranya seperti berpeluk dengan aktres Zarina Ann Joulie dipercayai di sebuah kelab malam tersebar di Twitter.

Foto itu pada awalnya dimuat naik oleh rakan baik Zarina, 32, iaitu Fathia Latiff di Instagramnya.

“@ismailizzani call her now!,” tulis Fathia pada bahagian kapsyen gambar itu.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan tujuan Fathia meminta penyanyi remaja itu menghubungi Zarina.

Usaha mStar Online mendapatkan kenyataan Ismail,18, juga tidak berhasil apabila dia tidak menjawab panggilan telefon.

Bagaimanapun, Fathia bertindak memadam gambar tersebut tidak lama kemudian selepas pengikutnya menghentam Zarina yang berpakaian seksi dalam foto berkenaan. – mstar