Kisah Benar Ustaz Ismail Kamus Islamkan 10 Jin

Sebaik baik jin adalah sejahat jahat manusia. Kalau agama tak kuat macam ustaz ni, jangan pandai pandai nak berurusan dengan jin, , satgi tak pasal je kena tipu dengan jin. 🙁


LELAKI yang berbadan kurus itu meronta-ronta dan menjerit-jerit sambil kakinya menendang apa sahaja di depannya. Beberapa orang pembantu Datuk Ustaz Haji Ismail Kamus memegangnya. Ternyata tenaga lelaki itu cukup gagah, tidak padan dengan tubuhnya yang kurus itu.

Ustaz Ismail Kamus yang melihat keadaan semakin tidak terkawal segera bertindak. Dia menepuk dan kemudian mencengkam bahagian perut lelaki tersebut. Sebentar kemudian, lelaki itu terduduk lesu. Cuma dengus nafasnya yang kencang. Dia kelihatan amat letih.

Sebenarnya situasi begini adalah perkara biasa kepada Ustaz Ismail setiap kali merawat orang datang meminta pertolongannya terutamanya jika orang itu terkena perbuatan sihir. Sebab itu ketika lelaki tersebut sedang mengamuk, dia hanya tenang dan tidak panik.

Selepas lelaki itu kelihatan tenang, Ustaz Ismail Kamus akan mula bersoal jawab dengannya.

”Dari mana kau datang?” tanya Ustaz Ismail.
“Dari Pulau Pinang,” jawab lelaki itu.
“Siapa suruh kau datang?”

Lelaki itu lalu menyebut nama si polan atau si polan. Menurut Ustaz Ismail, yang menjawab soalannya itu bukanlah lelaki itu tapi makhluk halus atau jin yang menumpang pada batang tubuhnya.

“Kalau begitu keadaannya, orang itu dirasuk jin. Orang yang dirasuk jin biasanya memang mempunyai kekuatan yang luar biasa berbanding tenaga sebenarnya.

“Tidak guna kita berlawan tenaga dengannya kerana kalau kita sepuluh orang sekalipun, belum dapat mengalahkannya. Kelemahan utamanya ialah di perut. Pukul dan cengkam perutnya, kalahlah dia,” terang Ustaz Ismail.

Menurut Ustaz Ismail Kamus, jin biasanya akan masuk ke dalam badan manusia melalui perbuatan sihir yang ditujukan kepada orang itu. Biasanya, orang yang terkena sihir akan menghadapi pelbagai masalah, misalnya tak boleh tidur, perut buncit, bengkak kaki dan kadang-kadang menjerit.

“Ada sesetengahnya sampai boleh bawa maut jika tidak segera diubati. Sihir seperti ini merupakan satu perbuatan yang zalim. Pada zaman moden ini, ramai yang tidak mempercayai perbuatan sihir tapi sebenarnya ia masih berlaku terutamanya di kalangan masyarakat Melayu.

“Selain daripada itu, jin juga boleh mengganggu jika kita termasuk ke kawasannya atau membuat sesuatu kepada kawasan tempat tinggalnya. Tidak kira di dalam hutan atau laut kerana jin tinggal di merata-rata tempat. Ada jin hutan dan ada jin laut” terangnya.

“Jin juga suka duduk tempat tinggi. Sebab itu kita tidak digalakkan membuat bangunan tinggi-tinggi sebab tempat seperti itu memang digemari jin untuk menumpang.”

Menurut Ustaz Ismail, jin paling gemar masuk melalui kepala kerana ingin mengawal pemikiran mangsanya. Sebab itu orang yang terkena gangguan jin tidak mampu berfikir secara rasional dan bertindak tanpa sedar.

Mengenai kaedah untuk mengubat orang yang diganggu jin, Ustaz Ismail menjelaskan dia hanya menggunakan ayat-ayat suci Al- Quran. “Itulah ubat paling mujarab,” katanya.

Bercakap lebih lanjut mengenai pengalamannya berurusan dengan jin, Ustaz Ismail berkata, jin-jin ini bukan sahaja datang daripada negeri-negeri di Malaysia malah ada yang datang daripada luar negara.

“Saya pernah berurusan dengan jin dari negara China, Mesir, England, Sumatera dan Segitiga Bermuda,” akui Ustaz Ismail. “Jin China misalnya bercakap bahasa Inggeris dan jika dari Sumatera, bercakap loghat Indonesia dan Mesir bercakap bahasa Arab.”

Bagaimanapun, walau tinggi manapun ilmu kita, manusia tidak dapat melihat jin. “Kalau orang kata dia pernah tengok rupa jin, itu penipu. Kita tidak dapat melihat rupa jin yang sebenarnya kerana ia selalunya akan menyamar sebagai manusia atau binatang.”

Tapi menurut Ustaz Ismail, manusia mampu berdialog dengan jin menggunakan orang perantaraan.

“Contohnya, saya selalu berdialog dengan jin melalui orang yang kena rasuk atau diganggu jin. Kalau seseorang yang diganggu itu bercakap dengan awak, itu bukan dia yang bercakap tapi itu jin yang bercakap.”

Mengenai dakwaan bahawa ada orang bersahabat dengan jin atau menggunakan jin sebagai hamba suruhan, Ustaz Ismail menegaskan ianya adalah syirik.

“Hanya Allah yang boleh memberi perintah kepada jin. Contohnya, Nabi Sulaiman hanya boleh mengarahkan jin selepas disuruh oleh Allah. Kita orang biasa memang tidak boleh memerintahkan jin. Jika kita lakukan, ianya adalah perbuatan syirik.”

Sambil merujuk kepada kisah orang yang membela hantu raya, Ustaz Ismail berkata perbuatan itu ternyata bertentangan dengan Islam walaupun hantu raya itu digunakan untuk melakukan kerja yang baik.

“Hantu raya adalah istilah kita. Raya itu maknanya besar. Mungkin hantu raya yang dimaksudkan ialah Jin Ifrit. Jin Ifrit memang kuat dan mampu angkat sebuah istana.

Ustaz Ismail juga mengingatkan umat Islam bahawa perbuatan memuja jin juga adalah satu perbuatan syirik.

Dia tidak menafikan, kebanyakan jin yang mengganggu manusia itu adalah jin kafir. “Tapi mereka ini jika diberi bimbingan dengan baik dan sempurna boleh diislamkan. berurusan dengan jin-jin ini, kita kena sabar sebab mereka cepat marah,” kata Ustaz Ismail.

Malah Ustaz Ismail mendedahkan, dia sendiri setakat ini telah mengislamkan sepuluh jin. “Mereka juga seperti manusia. Jika kita rajin berdakwah, lambat laun hatinya akan terpikat dengan ajaran Islam dan akhirnya akan memeluk Islam. Ada juga yang degil dan terus menjadi jin kafir.

Menurut Ustaz Ismail, dia mengambil pendekatan yang lembut untuk memujuk mereka memeluk agama Islam dengan cara dakwah yang sederhana. Setiap kali pesakit itu datang berubat dengannya, selain daripada menyembuhkan mereka, dia berdakwah tentang kebesaran Allah dan agama Islam.

Ditanya bagaimana dia tahu yang jin itu mahu memeluk agama Islam atau tidak, Ustaz Ismail menjelaskan bahawa jin itu yang menyatakan hasrat untuk memeluk Islam dan kemudian mengucap dua kalimah syahadah di depannya.

Malah Ustaz Ismail berkata, jin-jin ini kemudian akan mendalami ilmu agamanya terutamanya di Kelantan.

Sumber : Variasari 2/2